Nukilan Penulis

Setiap perkara yang berlaku disekeliling kita melibatkan pertanyaan seperti apa, dimana, bagaimana, bila dan siapa.
Blog ini akan cuba membincangkan perkara yang berhubung dengan:
1) Kota Marudu
2) Banjir
3) GIS
4) Globalisasi dan Pembangunan
5) Teori Pembangunan
6) 4 Tapak Domain Sabah
7) SDC dan SEDIA

Sunday, 20 May 2012

Globalisasi dan Pembangunan dalam Konteks Sabah


Apa itu Globalisasi dan Pembangunan?
Globalisasi mempunyai takrifan  yang berbeza serta meluas dari perspektif yang berbeza dan ia biasanya diertikan sebagai dunia tanpa sempadan. Terdapat 3 jenis pengertian globalisasi yang utama, iaitu :
i)             Globalisasi ekonomi,
ii)            Globalisasi pendidikan atau ilmu pengetahuan, dan
iii)           Globalisasi kesihatan.
Dalam dunia ekonomi, globalisasi adalah satu set yang kompleks yang menjadikan ekonomi lebih maju di seluruh dunia. Globalisasi membolehkan transaksi dijalankan oleh Negara-negara yang terlibat  atau transaksi antarabangsa. Ia berguna sebagai satu cara menerangkan pergerakan Kapital, manusia, kebaikan dan idea dan diantara variasi negara dunia juga pergerakan yang melibatkan budaya, politik dan sistem persekitaran (Stutz et. al., 2012).
Globalisasi dalam pendidikan atau ilmu pengetahuan pula bermaksud ilmu pengetahuan dibawa masuk dari Negara luar ke dalam sesebuah Negara yang lain menurut Nico Stehr dan Ulrich Ufer (2009). Ahli sosiologi mengandaikan bahawa ilmu pengetahuan adalah satu permintaan dalam masyarakat kerana ilmu didefinisikan oleh World Bank, 1999 sebagai satu cahaya dalam hidup seseorang individu disetiap Negara. Ilmu pengetahuan dijadikan model dalam membuat keputusan melalui maklumat yang dibawa oleh ilmu dunia tanpa sempadan. Maka dapat dikatakan bahawa pengertian pendidikan dalam globalisas adalah berhubungkait dengan kemudahan internet untuk  menyebarkan maklumat penting ke seluruh dunia. Kombinasi antara pengetahuan dan ekonomi menjadikan sesebuah Negara miskin menjadi lebih maju dengan taraf hidup yang lebih baik hasil perkongsian maklumat dan kepakaran dalam kajian kes di Korea Selatan sepanjang 1973 hingga 1979.
Melalui laporan yang dikeluarkan oleh persatuan kesihatan sedunia (WHO) pada tahun 2001, Negara miskin dan Negara yang mengalami ekonomi yang lemah boleh dibantu dengan penyaluran derma daripada Negara yang kaya. Sehubungan itu, apabila bantuan diberikan, bebanan golongan miskin dapat dikurangkan. Keengganan dunia membantu dan merawat penyakit HIV/AIDS menyebabkan WHO bertindak membantu golongan yang terlibat bagi memastikan kelangsungan hidup mereka. Keadaan inilah sebenarnya yang dikatakan sebagai globalisasi kesihatan, yakni memastikan kesihatan sejagat terjamin melalui perkongsian pengetahuan dalam bidang perubatan dan bantuan daripada Negara luar ke sesebuah Negara yang memerlukan bantuan berkenaan. Globalisasi dalam kesihatan mengubah sistem kesihatan kepada sistem yang lebih baik serta mengurangkan risiko kematian kepada tahap yang paling rendah melalui IMF/Bank. Transformasi dalam kesihatan yang dimulakan di Negara barat seperti Amerika dan Eropah telah banyak mengubah kesihatan ke tahap yang lebih baik lagi. Namun masalah kemiskinan di Asia khususnya tetap berlaku.
Keluarga yang miskin di Negara miskin mengalami masalah akses terhadap ubat-ubatan. Maka WTO telah meperhalusi monopoli pendapatan sewa oleh farmasi berkenaan ubat melalui perjanjian TRIPS atau Trade Intellectual Property Right dan menjadi isu dalam setiap agenda bagi Negara seperti India, Brazil, Argentina, Thailand dan Negara lain pada 1989.  Kekurangan wang juga menyebabkan Negara miskin mengalami masalah keselamatan makanan. Globalisasi telah membantu Negara miskin mengatasi masalah ini memandangkan ia berkaitan dengan globalisasi kesihatan. (Amit Sengupta, 2003)
Pembangunan merupakan konsep yang memberikan manfaat besar kepada kawasan yang dimajukan. Tujuan pembangunan dilaksanakan adalah utnuk meningkatkan kualiti hidup masyarakat dengan menyediakan peluang pekerjaan yang baik, tampat tinggal, perkhdimatan kesihatan dan bekalan sumber makanan yang mencukupi, bekalan air bersih serta system pengankutan dan pendidikan yang berkualiti. Ringkasnya, globalisasi dan pembangunan seharusnya bergerak seiringan dan tidak akan berlaku tanpa salah satu elemen daripadanya (Stutz et.al., 2012)
Dunia tanpa semapadan atau Globalisasi menjadikan segala maklumat disalurkan ke serata dunia tanpa had. Hal ini telah membawa kepada pembangunan dan kemajuan disesebuah Negara yang kurang membangun kepada Negara sedang membangun dan seterusnya mara menjadi Negara maju. Dunia tanpa sempadan telah membawa kemajuan atau pembangunan kepada seluruh dunia dan khususnya kepada Malaysia yang telah merdeka semenjak 31 ogos 1957 lagi. 

Apakah yang dimaksudkan dengan Teori Pembangunan dan kaitannya dengan 4 Tapak domain serta pembinaan laman web/blog?
Teori sering dikaitkan dengan sesuatu keadaan dan digunakan sebagai satu landasan dalam penyelidikan yang dijalankan. Teori merupakan suatu penjelasan fenomen kejadian atau suatu cara untuk membuat sesuatu kejadian itu masuk akal atau boleh diterima umum. Perbincangan mengenai globalisasi dan pembangunan membawa kepada teori perancangan dan pembangunan yang digunakan sebagai panduan. Perancangan adakah suatu hasil rangkaian kerja untuk merumuskan sesuatu yang didasari oleh suatu pola tindakan yang definitif, menurut pertimbangan yang sistematik dan dijangka membawa keuntungan dengan anggapan  bahawa akan ada tindakan yang selanjutnya dilakukan (Djoko Soejarto).
          Penyertaan Sabah dan Sarawak dalam gabungan Malaya pada 16 september 1963 telah membentuk Malaysia dibawa naungan perdana menteri Malaysia pertama iaitu Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj (31 Ogos 1957 hingga 21 September 1970). Malaysia terus bekembang meskipun penyertaan keluar daripada Singapura dan Brunei berlaku pada awal pembentukan Malaysia. Perancangan pembangunan ini telah membawa kepada rancangan Malaysia pertama selepas rancangan Malaya 1 dan rancangan Malaya 2. Dalam konteks Sabah, perancangan ini dilihat daripada sudut 4 tapak domain berdasarkan kepada syarahan umum Profesor Ulung Negara, Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin pada 02 Febuari 2012 di Dewan Auditorium Yayasan Universiti Malaysia Sabah mengenai SABAH DAN ALAMNYA. Empat domain yang dimaksukan ini ialah:
i)             Domain kewilayahan geografis
ii)            Domain sistem masyarakat
iii)           Domain sistem ekonomi
iv)           Domain sistem pemikiran
Domain pertama iaitu domain kewilayahan geografis menekankan dua faktor utama dalam pembentukan dan perkembangan sesebuah peradaban, iaitu faktor manusia dan faktor alam sekitarnya. Aspek yang ditekankan mengenai manusia dan alam sekitarnya itu adalah aspek saintifik alamiahnya, seperti aspek genetik/ras manusia, aspek iklim, flora dan fauna, tanah-tanih, astronomi, seni bina dan sebagainya yang memerlukan kefahaman saintifik yang mendalam untuk memperinci dan mengupasnya. Dalam konteks Sabah, khususnya UMS berperanan dalam mengintegrasikan bidang sains dan bukan sains dalam mencapai kejayaan. Para penyelidik UMS juga harus berada di barisan hadapan dalam mendebatkan isu alam sekitar dan manusia di Sabah dan mentakrif semula ruang wacana mengenai manusia dan alam sekitar.
Untuk mengangkat kualiti ilmu dan maklumat berlandaskan bidang sains sosial dan kemanusiaan dilengkapi dengan domain kedua iaitu domain sistem masyarakat. Kefahaman mengenai sistem masyarakat yang wujud di rantau Asia Tenggara amat penting dalam mengupas sistem masyarakat yang wujud. Fakta empirikal utama dalam membina kefahaman yang lebih mendalam mengenai masyarakat di Asia Tenggara semestinya datang daripada suatu kajian mengenai 1,000 tahun sejarah Selat Melaka kerana Selat Melaka menghubungkan Barat dan Timur untuk sekian lamanya. Dalam membina kefahaman ini, UMS melalui pengeraknya harus mempunyai keinginan untuk menempuh ruang di pentas dunia akademik bagi melaksanakan dan mengurus projek penyelidikan besar ini.
Domain ketiga iaitu domain sistem ekonomi menjelaskan setiap peradaban dan masyarakat bergantung kepada keadaan ekonomi, teknologi, biologikal dan demografi. Pengaruh globalisasi mengundang cabaran baru untuk mengkaji mengenai sistem ekonomi di rantau AT yang perlu diteliti bukan dari sudut politik tetapi perubahan nilai dan norma masyarakat rantau ini yang datang bersama-sama globalisasi, khususnya dalam bentuk konsumerisme. Sabah adalah sebuah negeri yang masih mengamalkan ‘persistence peasant’  yang bermaksud sebahagian besar penduduk biarpun terlibat secara cash economy, tetapi bentuknya bersifat sara diri. Maklumat mengenai sistem ekonomi sabah masih pada tahap yang rendah, dan maka dengan itu, UMS masih ada ruang cukup luas untuk melaksanakan kajian ekonomi yang komprehensif mengenai Sabah bersama badan-badan seperti IDS dan sebagainya. Tetapi apa yang lebih penting untuk menghasilkan buku yang terperinci mengenai ekonomi Sabah dengan diketuai oleh ahli ekonomi daripada UMS.
Sistem pemikiran adalah domain yang keempat dalam mengangkat ilmu dan maklumat Sabah. Sarjana dalam bidang pengajian falsafah dan sejarah intelektual dunia menyatakan bahawa pengaruh collective psychology atau pembinaan psychic unity dalam sesebuah peradaban membentuk worldwide sesuatu peradaban itu. Perkembangan sistem pemikiran dalam sesuatu pemikiran perlu dilihat daripada tiga sudut iaitu, kosmologi dan spirituality, tradisi intelektual dan Aturan sosial. Keempat-empat domain ini berkembang melalui pelbagai cara dan salah satunya adalah dengan pembinaan laman web atau blog dalam proses globalisasi dan pembangunan sebagai salah satu aspek penting dalam memajukan Sabah. Internet mampu menyebarkan banyak maklumat yang berguna kepada seluruh dunia dan maka dengan itu, pembinaan laman web atau blog ini membolehkan UMS meneroka Sabah dengan lebih mendalam dari sudut ilmu bagi memastikan sabah mampu mengorak langkah ke arah negeri yang maju dan dikenali diserata dunia. Ini kerana, Sabah mempunyai potensi dari segi kedudukan geografi untuk melangkah maju ke hadapan, ditambahkan pula dengan tenaga kerja yang berkemampuan serta berpendidikan tinggi di negeri ini. pembinaan satu portal khas iaitu ‘ilmusabah.com’ merupakan satu langkah konkrit UMS dalam mengangkat sabah dan UMS bagi memastikan negeri ini tidak lagi ketinggalan setelah merdeka dan menyertai Malaysia sejak 1963 lagi.
     Berbincang mengenai pembinaan blog atau laman web ini, ia bukan sahaja mampu memperlihatkan kemajuan teknologi pada era globalisasi ini malah mampu menyuarakan idea individu bagi tatapan umum. Dalam konteks ini, satu blog telah dibina berkaitan dengan latihan ilmiah yang bertajuk ‘Aplikasi GIS dalam memantau kesan kejadian banjir. Kajian kes: Kota Marudu’.  Blog ini memaparkan banyak maklumat berguna kepada pembaca yakni semua perkara yang berhubungkait dengan banjir yang berlaku di daerah Kota Marudu umumnya dan di kawasan N5 Tandek khususnya, iaitu tumpuan kawasan kajian pengkaji dalam menyelesaikan latihan ilmiah ini. Secara spesifiknya, kajian ini mempunyai 3 objektif yang utama iaitu:
i)     mengenalpasti faktor-faktor yang menyebabkan kejadian banjir di daerah Kota
Marudu khususnya di kawasan N5 Tandek
ii)            mengenalpasti kesan akibat kejadian banjir yang terjadi semenjak awal tahun 2000
dari sudut ekonomi penduduk tempatan
iii)           mengelaskan zon-zon banjir mengikut kesan daripada kejadian banjir di kawasan
kajian
Daerah Kota Marudu merupakan sebuah kawasan yang mempunyai bentuk muka bumi yang agak landai dan mudah dinaiki banjir apabila musim hujan berlaku. Hujan yang berterusan menjadikan kuantiti air sungai bertambah dan mengalir keluar dari sungai lalu membanjiri kawasan yang berhampiran. Tambahan pula, daerah Kota Marudu ini merupakan salah sebuah daerah yang berhampiran dengan laut, maka apabila hujan lebat terjadi dan dalam masa yang sama air pasang di laut berada pada tahap yang tinggi, air sungai yang melimpah tidak dapat disalirkan ke sungai. Hal ini akhirnya menyebabkan kejadian banjir berlaku kerana air pasang dilaut menolak keluar air sungai yang melimpah akibat hujan lebat. Kawasan berhampiran dan kawasan tanah rendah dinaiki banjir dan keadaan ini seterusnya menyebabkan banyak kesan buruk berlaku.
Banjir sememangnya tidak dapat dielakkan kerana ia merupakan kejadian alam yang berlaku secara semulajadi. Namun dalam sesuatu keadaan, kesan banjir boleh dikurangkan. Dalam era globalisasi, banyak teknologi yang dibawa masuk disesebuah Negara melalui perdangangan antarabangsa. Misalnya teknologi telefon yang diciptakan buat pertama kalinya ada tahun 1878 telah menjadikan dunia lebih kecil sebelum wujudnya teknologi komputer yang lebih mudah dan meluas. Teknologi GPS atau Geography Positioning System yang digunakan utuk mengesan dan memplotkan kawasan yang dinaiki banjir merupakan salah satu teknologi yang popular kini dan mempunyai teknologi tinggi. Kawasan-kawasan yang diplotkan akan dipetakan dalam GIS atau geography Information System dan dalam keadaan ini, banyak perkara yang boleh dijalankan untuk langkah seterusnya.
GIS merupakan sistem maklumat yang berasaskan kepada komputer yang menggabungkan unsur peta dan maklumat tentang peta tersebut (data atribut). Phua Mui How (2008) mengatakan GIS merupakan gabungan operasi yang melibatkan perancangan, pemerhatian, pengumpulan, penyimpanan, pengurusan dan penganalisisan data. Gabungan operasi ini diproses untuk membuat keputusan yang digunakan untuk meramalkan sesuatu perkara. Kebolehan perisian GIS dalam menyimpan, menganalisis, memaparkan dan output ini akan membantu dalam meramalkan segala kejadian dan akibat yang berlaku disebabkan sesuatu fenomena.
Pemampanan dilakukan untuk mengesan atau meramalkan kawasan-kawasan sekitar yang mungkin dinaiki banjir apabila hujan lebat berlaku. Misalnya, penampanan sekitar 500 meter dalam peta dan dalam jarak 500 meter itu, pengkaji boleh melihat berapa buah rumah yang mungkin dinaiki banjir, kawasan pertanian yang terlibat dan sebagainya. Dalam pada itu, segala kesan kerungian ari sudut ekonomi juga turut boleh diramalkan mengikut kemahuan pengkaji dalam penganalisisan. Teknologi ini sememangnya boleh mebantu dalam mengurangkan kesan kerugian akibat banjir dengan cara memindahkan penduduk yang mungkin terjejas atau merancang cara lain untuk mengurangkan kesan banjir yang berlaku ini.

Apakah perkaitan antara pembangunan Sabah dengan SDC dan SEDIA?
Sabah sering dikaitkan dengan kemiskinan berbanding negeri lain, apatah lagi negeri yang berhampiran dengan Kuala Lumpur yang terus mengalami tempias pembangunan ibu kota Malaysia itu. Maka, satu usaha besar telah dilakukan semasa pemerintahan Perdana Menteri Malaysia yang ke empat iaitu Tun Dr. Mahatir Bin Mohammad pada 16 Julai 1981 hingga 31 Oktober 2003 dengan mewujudkan Sabah Development Corridor (SDC).  SDC dikatakan akan mengubah fizikal serta lanskap ekonomi Sabah bukan hanya di bahagian Pantai Timur Sabah malah diseluruh negeri ini. konsep SDC dirangka untuk jangka masa panjang iaitu sehingga tahun 2025 dengan mewujudkan keseimbangan jurang taraf hidup masyarakat luar Bandar dan Bandar yang dilihat jauh berbeza. Masyarakat luar Bandar sebelumnya berada dalam keadaan yang naïf dan sentiada ketinggalan dalam sebarang bentuk pembangunan termasuklah taraf pendidikan dan kesihatan berbandig dengan kawasan Bandar.
Untuk menjayakan SDC, satu organisasi telah diwujudkan iaitu SEDIA atau Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah dipertanggungjawabkan untuk mengawalselia projek-projek yang berada dibawah SDC. Beberapa perkara penting yang diuruskan oleh SEDIA adalah berkaitan dengan pendaftaran syarikat, penerimaan lesen, permint kerja, perkara tanah, kelulusan perancangan, kelulusan utility dan insentif kepada pelaksana projek di bawah SEDIA.
Untuk menyokong segala usaha yang dilakukan oleh SEDIA dalam SDC, Prof. Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin telah mengutarakan 4 tapak domain iaitu domain kewilayahan Geografis, domain sistem masyarakat, domain sistem ekonomi dan domain sistem pemikiran. Keempat-empat tapak domain ini secara tidak langsung membantu dalam pembangunan negeri Sabah kerana melalui domain kewilayahan geografis contohnya, pembangunan dilaksanakan bukan hanya tertumpuh kepda kawasan pantai Timur Sabah sahaja malah di seluruh negeri ini tidak mengira kawasan Bandar mahupun kawasan luar Bandar. Pembangunan juga dibuat khususnya bagi kawasan atau tempat yang berpotensi untuk meju seperti kawasan pelancongan.
Dalam pada itu, pendidikan tidak pernah diabaikan dalam pembangunan dan menangani masalah kemiskinan dalam kalangan masyarakat negeri sabah secara khususnya. Pendidikan diwajibkan untuk semua kanak-kanak yang berusai 7 tahun bagi memastikan tidak seorang pun yang tercicir dalam bidang ilmu pengetahuan. Pusat-pusat siber atau makmal komputer turut dibina bagi memastikan penduduk dan pelajar luar Bandar tidak ketinggalan dalam menikmati kecanggihan teknologi di era globalisasi ini. Pemkiran masyarakat akhirnya akan lebih terbuka dan mampu berdaya saing dengan masyarakat lain yang bukan asalnya dari sabah dan lebih banyak graduan universiti  akan terhasil melalui kemajuan dalam bidang pendidikan ini.
Pemikiran yang lebih ke hadapan akan menjadikan sistem masyarakat Sabah lebih teratur dan dapat mengangkat nama negeri di bawah bayu ini di persada antarabangsa. SEDIA merupakan pihak berkuasa sehenti yang akan membantu syarikat-syarikat yang bercadang untuk beroperasi dibawah naungan SDC daripada peringkat awal yakni pendaftaran dan pemerolehan lesen sehinggalah persetujuan semua pihak yang berkaitan diperolehi. Hal ini setersunya akan membawa kepada kemajuan sesebuah syarikat yang hendak beroperasi di bawah SDC. Banyak peluang pekerjaan yang diwujudkan ekoran kemajuan ekonomi di sesebuah kawasan dan secara tidak langsung akan mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan masyarakat Sabah. Keadaan ini juga pasti akan mengurangkan migrasi keluar dari Sabah ke negeri lain atau ke luar Negara kerana wujudnya banyak peluang pekerjaan di negeri mereka sendiri.
Melihat kepada aspek pembangunan, pembangunan disesebuah Negara tidak mampu berdiri sendiri dan bertambah maju tanpa kehadiran Negara lain yang menjadi rakan kongsi. Perkongsian maklumat, teknologi dan kepakaran, pendidikan dan lain-lain aspek dibangunkan dengan kewujudan globalisasi yang telah berlaku sejak berkurun lamanya. Asalnya globalisasi hanya berlaku di dunia realiti dan kemajuan pada hari ini telah mendorong globalisasi yang hanya berada dihujung jari. Hal ini dikaitkan dengan munculnya teknologi maklumat (IT) yang menjadikan dunia ini kecil melalui perhubungan yang tidak terbatas.
Dalam pada itu, kekuasaan SEDIA dalam SDC tidak dapat bertindak pantas dan berkesan tanpa pengurusan yang sistematik. Hal ini dikaitkan secara langsung dengan urus tadbir Sabah yang berdiri di atas rancangan Malaysia yang ke sepuluh iaitu segaa perkara yang berkaitan dengan minyak dan gas, minyak kelapa sawit dan produk berkaitan, perkhidmatan perbankan, perdangangan dan peruncitan, pelancongan, maklumat dan teknologi komunikasi, pendidikan, elektrik dan elektronik, perkhidmatan perniagaan, kesihatan, pertanian dan memperkasakan Kuala Lumpur. Tadbir urus ditakrifkan sebagai satu sistem yakni organisasi diarah dan dikawal (The Cadbury Report, UK-1992). Manakala Tan Sri Mhd. Sidek Hj. Hassan (2007) pula mendefinisikan tadbir urus sebagai satu aspek yang merangkumi tatacara Eksekutif atau Ketua Jabatan dan para pegawai di semua peringkat pengurusan melaksanakan tanggungjawab secara telus dan berhemah dari segi pengambilan dan dan penyampaian hasil, struktur termasuk budaya kerja, dasar, strategic serta tatacara mereka berurusan dengan pelbagai pihak. Ia juga merupakan proses yang memperlihatkan agensi awam diurus atau diarah dan dipertanggunjawabkan untuk melaksanakan objektif yang telah dipersetujui.  Hal ini bermakna tadbir urus perlu dilaksanakan secara baik dan teratur agar setiap projek yang dijalankan bagi memajukan sabah berjalan dengan lancar.
Sebaran maklumat secara meluas dan berkesan melalui saluran elektronik yang disokong oleh teknologi melalui globalisasi, keberkesanan agensi kerajaan dan melalui media cetak harus dilakukan dengan efektif untuk memastikan Sabah mampu berdaya saing. Pentadbiran dan pengurusan memerlukan dua aspek penting dalam menjayakannya iaitu aspek prestasi dan aspek pematuhan. Dalam pada itu, 6 elemen penting yang diwajibkan didalam pengurusan dan pentadbiran adalah seperti berikut:
Elemen 1: Fokus kepada pelanggan
Elemen 2: Beretika
Elemen 3: Ketelusan
Elemen 4: Akauntabiti dan integrity
Elemen 5: efektif dan efesien
Elemen 6: pengurusan perubahan
Pewujudan dan pelaksanaan keenam-enam elemen ini akan membantu pentadbiran yang telus berasaskan kepada rancangan Malaysia ke 10 dalam pembangunan dan pelaksanaan Sabah Development Corridior (SDC).

Perbincangan dan cadangan
Kemajuan dan kecanggihan teknologi pada era ini menjadikan dunia hanya berada dihujung jari sahaja. Tahap kesihatan dan pendidikan dilihat semakin berkembang ekoran kemajuan teknologi yang dikongsikan bersama. Perdagangan juga turut berkembang menjadikan Negara miskin berkembang dengan perkongsian factor ekonomi yang dilaksanakan oleh Negara maju dan Negara membangun serta Negara maju. Globalisasi sememang memainkan peranan penting dalam kemajuan dan pembangunan disesebuah Negara, namun dalam masa yang sama, globalisasi akan menyebabkan banyak masalah yang timbul jika disalahgunakan. Penggunaan internet secara tidak terkawal menjadikan golongan kanak-kanak khususnya di Malaysia mengalami keruntuhan akhlak kerana dalam laman web, terdapat laman lucah yang tidak bertapis sehingga merosakkan minda pelajar.
Hal ini juga sekaligus meningkatkan kejadian jenayah dalam kalangan remaja serta pemberontakan kerana terlalu mengikut kata hati disamping mendapat pengaruh buruk daripada laman web tertentu. Jenayah seperti kes pecah rumah atau pembunuhan juga turut menjadi-jadi kerana internet memberikan maklumat yang terlalu meluas dan meningkatkan daya pemikiran dalam kalangan masyarakat dan kadang-kala disalahgunakan. Jenayah siber dan masalah penggondam dalam alam maya tidak dapat dinafikan lagi berikutan kamajuan yang dimiliki pada masa ini. Masalah pembakaran fosil akibat daripada globalisasi ekonomi yang mementingkan keuntungan menyumbang kepada pemanasan global yag serius. Hal ini didorong oleh penipisan lapisan ozon yang dimusnahkan oleh pembakaran fosil. Kepupusan sumber alam seperti haiwan dan tumbuhan, gangguan ekologi daratan dan lautan turut berlaku. Gaya hidup tidak sihat dengan pengambilan makanan ringan pada masa kini sebagai pilihan makanan juga didorong oleh globalisasi. Amalan pengambilan tembakau dan alcohol juga tidak dapat dinafikan dan semakin berleluasa tidak kira golongan lelaki mahupun golongan wanita dan tidak mengira peringkat umur.
Maka, untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini, peranan ibubapa dan guru-guru disekolah amatlah penting bagi memastikan golongan muda tidak terlalu terikut dengan kemajuan yang tercipta pada hari ini dan menjadikan cara hidup barat sebagai amalan mereka. Tidak lupa juga penekanan terhadap budaya ketimuran dalam kalangan masyarakat di Sabah khususnya dan Malaysia amnya harus juga dilakukan disamping penekanan terhadap aspek moral serta agama yang utuh terutamanya bagi golongan muda. Dapat disimpulkan, globalisasi merupakan satu medium untuk pembangunan masyarakat dan Negara jika digunakan dalam landasan yang betul. Perkembangan tidak kira dalam bidang ekonomi, pendidikan dan mahupun kesihatan perlu dititikberatkan dengan tidak mengabaikan sebarang kesan negatif yang mungkin berlaku sebagai akibat daripada globalisasi ini.
 Jika dilihat dari perspektif sistem pemikiran dalam 4 tapak domain, setiap golongan ibubapa dan guru seharusnya juga celik komputer pada masa depan dan tidak membiarkan perkara buruk berlaku pada anak-anak mereka. Maka dengan itu, akhlak tetap dapat dipelihara meskipun telah melangkah kepada Negara maju suatu hari kelak. Urus tadbir yang tersusun juga perlu dipraktikkan sepanjang perjalanan matlamat jangka panjang SDC iaitu tahun 2025 nanti. Kesediaan dan keperkasaan SDC tidak bermakna tanpa pewujudan SEDIA yang mejadi tulang belakang kepada setiap rancangan dan projek yang dilaksanakan ini. Maka SEDIA dengan kuasa autoritinya mampu membawa Sabah ke hadapan dan mampu bersaing diperingkat global. Ini kerana, sabah mempunyai elemen penting iaitu sumber asli yang berguna khususnya dalam bidang galian dan pertanian yang mampu membawa ekonomi Sabah ke hadapan. Kelebihan Sabah tidak seharusnya dibiarkan dan dieksploitasi tanpa tadbir urus yang sistematik berasaskan kepada 6 elemen utama. Tapak 4 domain iaitu domain kewilayahan geografis, domain sistem masyarakat, domain sistem masyarakat dan domain sistem pemikiran dilihat sebagai satu jalan kepada negeri Sabah untuk mengorak langkah dalam rancangan Malaysia ke 10 berdasarkan kepada pelaksanaan SDC dalam era globalisasi ini. kemajuan teknologi maklumat khususnya dalam bidang perkomputeran sekaligus menjadi satu medium untuk Sabah melangkah lagi dan terus membina kejayaannya di persada dunia.

RUJUKAN
Amit Sengupta. 2003. Health in the Age of Globalisation. Social Scientist, 31(11-12): 66-85.

Nico Stehr dan Ulrichufer. 2009. On the Global Distribution dan Dissemination   of       Knowledge. ISSJ 195 UNESCO: Blackwell Publishing Ltd.: 7-24.

Phua Mui How. 2008. GIS Satu Pendekatan Praktikal. Universiti Malaysia Sabah.

Stutz, Frederick &waft, Barney. (2012). The World Economy: Geography, Business,    Development 6thed. Prentice Hall, Boston. Tokyo, pp. 435

No comments: